Saturday, April 28, 2012

Mock Trial JSU 2012 : SESAT


Dijemput untuk menyaksikan Mock Trial SESAT 
 yang akan berlangsung pada 
2 & 5 Mei 2012 (Rabu & Sabtu) 
bertempat di 
Moot Court Aras 1 Blok A, APIUM...
yang mana melibatkan kes jenayah syariah.



Analisis Elemen-elemen Keterangan Dalam Perbandingan Dua Kes Khalwat.


PENDAHULUAN

Khalwat menurut peruntukan seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa mana-mana orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya atau orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang lelaki atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan kesalahan.

Di Malaysia, khalwat adalah salah satu kesalahan jenayah yang diperuntukkan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri. Apabila seseorang itu disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Larangan terhadap perbuatan khalwat yang boleh menghampiri zina telah dinyatakan di dalam Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan).”[1]

Manakala, terdapat juga hadith yang membicarakan tentang larangan perbuatan khalwat sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

لا يخلون رجل بأمراءة لا تحل له فان ثالثهما الشيطان

“ Janganlah kamu bersunyi-sunyian dengan perempuan yang tidak halal bagi kamu kerana sesungguhnya orang yang ketiga adalah syaitan.”

Di dalam tugasan subjek Undang-undang Keterangan Islam II ( IUEL 3203 ), dua kes berkaitan kesalahan khalwat akan dikaji dan lebih diperincikan mengikut aspek-aspek Undang-undang Keterangan.



FAKTA KES 1

·         KES PERTAMA

Kes pertama ialah kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah yang dibicarakan di Mahkamah Qadhi Besar, Kelantan. Kes ini dihakimi oleh Y.A Rawi Mat Yaman iaitu Timbalan Qadhi Besar pada 14 Januari 1992.

Di dalam kes ini, kedua-dua tertuduh iaitu Mat Rahim dan Nik Azimah telah dituduh melakukan kesalahan berkhalwat yang boleh dihukum di bawah seksyen 9(1) dan (2) Kanun Jenayah Syariah 1985.

Sebagai pembelaan pihak tertuduh telah mendakwa bahawa mereka telah berkahwin mengikut Hukum Syarak di Thailand dengan mengemukakan 2 orang saksi lelaki dan juga surat keterangan nikah Thailand serta surat pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Ugama Islam, Narathiwatt, Thailand.

Manakala, pihak pendakwa pula telah mengemukakan 3 orang saksi lelaki yang semuanya terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Pejabat Penyelia Ugama Kota Bharu.

Pihak pendakwa telah diberi masa untuk penyiasatan dan penelitian surat nikah itu akan tetapi pihak pendakwa kemudiannya telah berhujah bahawa beban pembuktian untuk mengesahkan keterangan nikah di Thailand itu terletak di atas 2 tertuduh kerana mereka yang mempunyai pengetahuan khas berhubung dengan keterangan nikah dan perkahwinan tersebut.


FAKTA KES 2

·         KES KEDUA

Kes kedua iaitu kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dibicarakan oleh Lembaga Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan. Yang mana lembaga ini dipengerusikan oleh Wan Hamzah bin Haji Wan Mohamed Salleh dan juga Ahmad Ibrahim serta Abdul Hamid bin Othman  sebagai ahli pada 8 Februari 1990.

Kes ini merupakan kes rayuan yang mana pada mulanya ia telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah pada 20 Oktober 2010. Di dalam kes ini, perayu telah dituduh di bawah Fasal 157(1) Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1988) yang mana dia telah didapati berkhalwat dengan seorang lelaki bernama Yahya bin Mohd Isa yang bukan suami atau mahramnya menurut syarak.

Setelah dibacakan pertuduhan ke atasnya, perayu telah mengaku faham dan mengaku salah. Akan tetapi, sebelum dia disabitkan kesalahannya pihak pendakwa telah memberitahu mahkamah bahawa perayu telah melacur dirinya hampir 5 tahun dan beliau meminta pihak mahkamah supaya menjatuhkan hukuman yang setimpal supaya dia menjadi iktibar untuk dirinya dan orang lain.

Mahkamah Rendah Syariah pada ketika itu meluluskan permohonan Pendakwa dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak $400.00 dan penjara selama 2 bulan jika tidak dibayar denda ditambah penjara sebulan mulai dari tarikh hukuman diputuskan.

Di dalam perbicaraan pertama di Mahkamah Rendah, jelas terdapat perselisihan sama ada orang yang dituduh (perayu) masih bekerja sebagai pelacur atau tidak kerana di dalam jawapannya kepada soal mahkamah dalam perbicaraan itu telah berkata bahawa dia sudah berhenti kerja sebagai pelacur dan telah balik ke Kelantan. Namun, Y.A Hakim nampaknya telah menerima apa sahaja yang disebut oleh Pendakwa dan menjatuhkan hukuman seperti yang telah dinyatakan di atas.

Kemudiannya, perayu di dalam alasan rayuannya telah menyatakan bahawa dia telah bertaubat dan tidak akan bekerja sebagai perempuan jahat dan dia turut menyatakan bahawa dia telah balik ke Kelantan dan menjaga 4 orang anaknya selepas doceraikan oleh suaminya. Perayu juga telah melafazkan taubatnya di Mahkamah.

ISU KES

·         KES PERTAMA

  1. Sama ada orang yang kena tuduh merupakan pasangan yang telah berkahwin secara Hukum Syarak.
  2. Sama ada beban pembuktian terhadap pengesahan keterangan nikah terletak di bawah pihak pendakwa.



·         KES KEDUA

  1. Sama ada orang yang dituduh masih bekerja sebagai pelacur atau tidak.
  2. Sama ada permohonan dari Pendakwa supaya menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dituduh berhak dipertimbangkan.



PEMBUKTIAN & KETERANGAN

·         BEBAN PEMBUKTIAN & KETERANGAN

Beban pembuktian menurut Undang-undang Keterangan terbahagi kepada 2 jenis iaitu beban undang-undang dan beban keterangan. Beban pembuktian adalah frasa yang digunakan untuk menerangkan tugas yang terletak ke atas sesuatu pihak untuk mewujudkan suatu kes atau suatu fakta. Beban pembuktian adalah merangkumi beban untuk mewujudkan kes (beban undang-undang) dan juga beban untuk membawa keterangan.[2]

Hal ini seperti yang disebutkan di dalam seksyen 73(2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang menyatakan :

“ (2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka dikatakan beban membuktikan terletak pada orang itu.”

Di dalam kes jenayah, beban pembuktian adalah tertanggung ke atas pihak pendakwa dan perlu mengandungi elemen penting jenayah sehingga menacapai tahap prima facie kes tersebut. Ia juga dikenali sebagai beban undang-undang. Menurut sabda Rasulullah S.A.W yang dipetik daripada kitab Bulugh Al-Maram karangan As-sana’ni di dalam bab ad-Dakwa wa al-Bayyinat halaman 183 yang bermaksud :

“Sekiranya diberikan kepada manusia kuasa untuk mendakwa, nescaya mereka akan menghukum dengan darah dan harta mereka, akan tetapi sumpah keatas orang yang di dakwa, dalam sanad yang lain : keterangan keatas orang yang mendakwa dan sumpah keatas orang yang menafikan.”[3]

Manakala, beban keterangan pula adalah beban yang terletak kepada pihak yang satu lagi untuk membawa keterangan bagi meragukan atau membawa isu ke atas kes pendakwaan. Oleh itu, dalam kes jenayah, beban keterangan ini adalah tertanggung  ke atas orang yang kena tuduh / defenden  setelah terbukti prima facie ke atas sesuatu kes dan beban tersebut akan berubah-ubah mengikut situasi sesuatu kes. Yang dituduh pula menanggung beban bela diri, jika gagal atau berdiam diri sabitan boleh dikenakan.


Berdasarkan kes yang pertama iaitu kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah, beban undang-undang adalah tertanggung ke atas pihak pendakwaan. Pihak pendakwa perlu membuktikan wujudnya fakta untuk menjawab fakta isu supaya beban itu boleh dilepaskan.  Dalam kes ini, orang kena tuduh telah disabitkan kesalahan dibawah seksyen seksyen 9(1) dan (2) Kanun Jenayah Syariah 1985 yang  berkaitan dengan kesalahan khalwat.

Dalam kes ini, pihak tertuduh telah mendakwa bahawa mereka telah berkahwin mengikut Hukum Syarak di Thailand dengan mengemukakan 2 orang saksi lelaki dan juga surat keterangan nikah Thailand serta surat pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Ugama Islam, Narathiwatt, Thailand sebagai pembelaan.

Manakala, pihak pendakwa pula telah mengemukakan keterangan 3 orang saksi lelaki yang semuanya terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Pejabat Penyelia Ugama Kota Bharu.

Pihak pendakwa di dalam kes ini gagal membuktikan fakta asas bagi kesemua elemen-elemen khalwat di dalam kes ini iaitu wujudnya keadaan bersekedudukan dan bersekediaman, antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim mengikut hukum syarak dan boleh mendatangkan syak.

Hal ini kerana, walaupun pihak mahkamah telah meluluskan permohonan pihak pendakwa untuk menangguh perbicaraan kes ini supaya membolehkannya membuat siasatan dan penelitian terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh pihak yang kena tuduh. Namun, pihak pendakwa gagal membuktikan  bahawa dokumen-dokumen tersebut mengandungi unsur-unsur pemalsuan atau diperolehi secara penipuan atau penyelewengan.

Pihak pendakwa dengan alasannya apabila Mahkamah kembali bersidang menyatakan bahawa beban bukti untuk mengesah keterangan dokumen-dokumen tersebut adalah terletak di atas kedua-dua tertuduh kerana mereka yang mempunyai pengetahuan khas berhubung dengan keterangan nikah dan perkahwinan tersebut mengikut peruntukan seksyen 106 Undang-undang Keterangan 1950 dan Seksyen 77 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah No.2 Tahun 1991. Peguambela pihak tertuduh membantah kenyataan dan alasan pihak pendakwa sebagaimana yang disebut dalam nota perbicaraan.

Oleh yang demikian , keterangan di pihak pendakwaan adalah lemah dan beban pembuktian tidak berjaya dilepaskan manakala kedua-dua tertuduh dibebaskan.


Kes yang kedua iaitu kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, kes ini merupakan kes jenayah maka beban undang-undang adalah tertanggung ke atas pihak pendakwa. Di dalam kes rayuan pihak yang dituduh (perayu) menanggung beban bela diri (beban keterangan) bagi meragukan atau membawa isu ke atas kes pendakwaan.

Semasa kes ini dibicarakan di Mahkamah Rendah, pihak pendakwa telah berjaya membuktikan bahawa pihak tertuduh telah didapati berkhalwat dengan seorang lelaki bernama Yahya bin Mohd Isa yang bukan suami mahupun mahramnya di bilik No.2 Kim Hua Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Tertuduh telah mengaku faham dan mengaku salah atas tuduhan khalwat yang telah dibacakan terhadapnya. Pengakuan tertuduh di dalam kes ini adalah berbentuk pengakuan salah (confession). Oleh itu, hakim di dalam kes ini mengambil iqrar tersebut adalah sebagai pengakuan salah dalam menjatuhkan hukuman ke atas orang kena tuduh.

Pihak yang dituduh dihukum dengan denda $400.00 dan 2 bulan penjara. Kemudiannya, dia telah merayu terhadap hukuman yang telah dijatuhkan itu. Namun, pihak pendakwa sebelum tertuduh disabitkan kesalahan telah memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah melacur dirinya hampir 5 tahun dan beliau meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal supaya ia tidak melacurkan diri dan menjadi iktibar orang lain. Dalam kenyataannya, tertuduh telah berkata dia telah berhenti menjadi pelacur dan telah balik ke Kelantan untuk menjaga anaknya.

Di dalam perbicaraan rayuan, tertuduh mengulangi apa yang disebut di dalam Mahkamah Rendah Syariah dan membuat pengakuan bahawa dia telah bertaubat dan tidak akan bekerja sebagai perempuan jahat. Dia mengakui telah pulang ke Kelantan dan menjaga 4 orang anaknya setelah diceraikan oleh suaminya. Perayu juga turut melafazkan taubatnya di Mahkamah.

Di dalam perbicaraan rayuan ini, pihak pendakwa telah gagal untuk membuktikan bahawa perayu masih bekerja sebagai pelacur dan dalam keadaan itu pihak Lembaga Rayuan Syariah memutuskan untuk membatalkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas perayu akan tetapi mengesahkan hukuman denda sebanyak $400.00 yang dikenakan ke atasnya.



·         DARJAH PEMBUKTIAN

Darjah pembuktian ialah tahap sesuatu fakta dibuktikan oleh pihak-pihak yang menegaskan kewujudan fakta berkenaan.[4] Darjah pembuktian juga dimaksudkan sebagai tahap atau piawai yang berkaitan dengan kepercayaan Mahkamah Syariah sama ada :

  1. Mahkamah Syariah sendiri percaya kewujudan atau ketidakwujudan sesuatu fakta atau kes atau ;
  2. Mahkamah Syariah berpendapat kewujudan atau ketidakwujudan sesuatu fakta atau kes itu sebegitu mungkin sehingga orang yang berhemah akan bertindak berdasarkan kepada anggapan bahawa perkara yang dipertikaikan itu wujud atau tidak wujud.[5]

Dalam konteks hukum syarak pada kebiasaannya tahap yang perlu dicapai sama ada yakin, zan al ghalib (besar kemungkinan atau berat sangka atau tanpa keraguan yang munasabah) atau zan (pertimbangan kemungkinan).

Manakala 2 tahap lagi yang tidak diterima ialah syak dan waham.[6] Darjah pembuktian sesuatu kes adalah berbeza sama ada melampaui keraguan yang munasabah atau diatas imbangan kebarangkalian atau menimbulkan keraguan yang munasabah.[7]


Di dalam kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah, pihak yang dituduh, telah mengemukakan keterangan 2 orang saksi lelaki dan juga surat keterangan nikah Thailand serta surat pengesahan nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Ugama Islam, Narathiwatt, Thailand sebagai pembelaan.

Walaupun pihak pendakwa telah mengemukakan keterangan 3 orang saksi lelaki yang semuanya terdiri daripada Pegawai dan Kakitangan Pejabat Penyelia Ugama Kota Bharu bagi membuktikan pendakwaan. Namun, pihak pendakwa telah gagal membuktikan bahawa dokumen-dokumen tersebut mengandungi unsur-unsur pemalsuan atau diperolehi secara penipuan atau penyelewengan.

Menurut Mohamad Salam Madhkur di dalam Kitab Al-Qada’ fil Islam halaman 82 jilid 3 menyatakan bahawa surat keterangan nikah dan pengesahan yang dikeluar dalam negeri atau luar negeri adalah diantara dokumen awam yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja kecuali pihak pendakwa berjaya membuktikan pihak tertuduh memperolehi dokumen-dokumen itu melalui tindakan pemalsuan dan penyelewengan mengikut hukum syarak dan undang-undang.

Hal ini menunjukkan dakwaan pihak pendakwa itu berada pada tahap darjah pembuktian yang dikategorikan sebagai syak kerana pihak pendakwa telah gagal membuktikan dakwaannya bahawa kedua-dua tertuduh adalah bukan pasangan suami isteri mengikut Hukum Syarak.


Bagi kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak pendakwa telah berjaya membuktikan pihak yang dituduh (perayu) telah melakukan kesalahan khalwat melalui pengakuan salah (confession) yang telah dibuat olehnya.

Namun, pihak pendakwa gagal untuk membuktikan bahawa perayu masih bekerja sebagai pelacur di dalam permohonannya supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas perayu.

Pihak perayu juga telah membuat pengakuan bahawa dia telah bertaubat dan tidak akan bekerja sebagai perempuan jahat. Dia mengakui telah pulang ke Kelantan dan menjaga 4 orang anaknya setelah diceraikan oleh suaminya. Perayu juga turut melafazkan taubatnya di Mahkamah.

Hal-hal ini menunjukkan dakwaan pihak pendakwa terhadap perayu terhadap kesalahan khalwat adalah berada pada tahap darjah pembuktian Ghalabatul Zan (tanpa keraguan yang munasabah). Akan tetapi dakwaan pihak pendakwa berkenaan perayu seorang yang masih bekerja sebagai pelacur dan perlu dikenakan hukuman setimpal adalah berada pada darjah pembuktian yang menimbulkan keraguan yang munasabah ditambah pula dengan tuduhan itu cacat kerana kes ini dibicarakan di bawah kesalahan khalwat dan kesalahan seharusnya disebut begitu di dalam pertuduhan. Oleh itu, keadaan-keadaan ini menyebabkan darjah pembuktian jatuh ke tahap syak.


ALASAN PENGHAKIMAN

·      KES PERTAMA
( Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah )

Menurut kes ini pihak pendakwa telah gagal untuk membuktikan bahawa segala dokumen yang telah dikemukakan oleh tertuduh berkenaan pernikahan mereka di Thailand mengandungi unsur-unsur pemalsuan atau diperolehi secara penipuan atau penyelewengan. Hal ini memadai untuk dipercayai bahawa di antara tertuduh pertama dan kedua telah wujud perkahwinan. Seterusnya menjawab isu pertama di dalam kes ini iaitu sama ada orang yang kena tuduh merupakan pasangan yang telah berkahwin secara Hukum Syarak. Maka elemen-elemen khalwat di dalam kes ini tidak dipenuhi.

Mahkamah telah membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan yang dipohon oleh pihak pendakwa di dalam kes ini dengan alasan supaya membolehkan pihaknya untuk membuat penyiasatan dan penelitian terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh tertuduh. Namun, pihak pendakwa dengan alasannya apabila Mahkamah kembali bersidang menyatakan bahawa beban bukti untuk mengesah keterangan dokumen-dokumen tersebut adalah terletak di atas kedua-dua tertuduh kerana mereka yang mempunyai pengetahuan khas berhubung dengan keterangan nikah dan perkahwinan tersebut mengikut peruntukan seksyen 106 Undang-undang Keterangan 1950 dan Seksyen 77 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah No.2 Tahun 1991.

Pada pertimbangan Mahkamah, kenyataan dan cadangan pihak pendakwa tidak dapat dipertimbangkan kerana didapati apa yang dinyatakan oleh pihak pendakwa tidak menyentuh kenyataan yang dimaksudkan iaitu mengenai hasil penyiasatan daripada pihaknya berhubung dengan keterangan nikah yang dipertikaikan.

Hal ini menjawab persoalan isu yang kedua iaitu beban pembuktian terhadap pengesahan keterangan nikah terletak di bawah pihak pendakwa kerana pihak pendakwa dan peguambela tertuduh telah diberi peluang secukupnya untuk menyampaikan hujah dan tidak ada lagi perkara-perkara yang termasuk di bawah pengetahuan khas pihak tertuduh yang pelu dibuktikan oleh pihak tertuduh kerana pihak tertuduh telah mengemukakan keterangan 2 orang saksi dan dokumen-dokumen pernikahan.

 Mahkamah telah memutuskan bahawa tuduhan berkhalwat antara kedua-dua tertuduh mengikut bab 9 (1) & (2) Kanun Jenayah Syariah 2/85 Negeri Kelantan adalah tidak sabit di sisi Mahkamah dan kedua-duanya dibebaskan mengikut seksyen 99(N)(i) Enakmen Acara Jenayah Syariah 9/83


·         KES KEDUA
( Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan )

Di dalam kes ini pihak pendakwa telah berjaya membuktikan bahawa tertuduh (perayu) telah melakukan kesalahan khalwat melalui pengakuan salah (confession) yang dibuat oleh perayu.

Namun begitu, pihak pendakwa telah gagal untuk membuktikan bahawa perayu adalah seorang pelacur supaya hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan ke atasnya. Perayu di dalam Mahkamah Rendah Syariah telah mebuat pengakuan bahawa dia sudah berhenti kerja sebagai pelacur dan telah pulang ke Kelantan

Manakala, di dalam perbicaraan rayuan dia turut membuat pengakuan bahawa dia telah bertaubat dan tidak akan bekerja sebagai perempuan jahat. Dia mengakui telah pulang ke Kelantan dan menjaga 4 orang anaknya setelah diceraikan oleh suaminya. Perayu juga turut melafazkan taubatnya di Mahkamah. Hal ini menjawab isu yang pertama di dalam kes ini. Dan juga menjawab isu yang kedua iaitu permohonan dari pendakwa supaya menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dituduh berhak dipertimbangkan kerana terdapat perselisihan sama ada orang yang dituduh masih bekerja sebagai pelacur atau tidak.

Mahkamah memutuskan membatalkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas perayu akan tetapi mengesahkan hukuman denda $400 yang dikenakan ke atasnya.


ANALISIS KES

PERSAMAAN KES
  • Kedua-dua kes melibatkan kes jenayah iaitu berkenaan kesalahan khalwat.


PERBEZAAN KES
  • Perbezaan dari Mahkamah - Kes pertama iaitu kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah telah dibicarakan di Mahkamah Qadhi Besar, Kelantan manakala kes kedua iaitu kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dibicarakan di Lembaga Rayuan Syariah.
  • Perbezaan dari sudut kaedah pembuktian - di dalam  kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah, kaedah pembuktiannya melalui keterangan dokumen dan juga keterangan saksi-saksi. Berbeza dengan kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, melalui pengakuan salah (confession) tertuduh (perayu) terhadap kesalahan yang dibacakan ke atasnya dan juga pengakuannya yang telah bertaubat dan telah berhenti melacur.
  • Perbezaan keputusan - di dalam kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah, Mahkamah telah memutuskan bahawa tuduhan berkhalwat antara kedua-dua tertuduh adalah tidak sabit di sisi Mahkamah dan kedua-duanya dibebaskan. Berbeza dengan kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mahkamah memutuskan membatalkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas perayu akan tetapi mengesahkan hukuman denda $400 yang dikenakan ke atasnya di atas kesalahan berkhalwat.
  • Dakwaan Pendakwa - dalam kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah, pihak pendakwa menyatakan beban bukti untuk mengesahkan keterangan nikah di Thailand yang dikemukakan adalah terletak di atas 2 tertuduh. Berbeza dengan kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pihak pendakwa telah memohon pihak Mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana tertuduh bekerja sebagai pelacur.


HUBUNGKAIT KES
  • Melalui pembuktian yang dikemukakan didalam kedua-dua kes, didapati perkara yang penting untuk mensabitkan kesalahan khalwat ialah pihak pendakwa perlu memastikan kesemua elemen-elemen kesalahan khalwat telah dipenuhi sepertimana dinyatakan di dalam peruntukan seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
  • Melalui kes juga dapat dinyatakan pihak pendakwa memainkan peranan yang sangat penting dalam mengemukakan beban pembuktian bagi kes jenayah. Dalam kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn. Mat Rahim dan Nik Azimah, pihak pendakwa telah menyatakan kelemahannya apabila gagal membuktikan dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh tertuduh mempunyai unsur-unsur penyelewengan atau penipuan. Di dalam kes Rusidah Binte Abdul Ghani lwn. Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pendakwa juga telah gagal untuk membuktikan bahawa tertuduh masih bekerja sebagai pelacur untuk permohonan hukuman yang setimpal dikenakan ke atasnya oleh pihak Mahkamah ditambah pula tuduhan yang cacat kerana kesalahan itu ialah kesalahan di bawah peruntukan khalwat dan kesalahan seharusnya disebut begitu di dalam tuduhan.

DISKUSI

            Kes khalwat merupakan antara kes jenayah yang paling banyak dicatatkan di setiap negeri. Jika kaedah pencegahan tidak dilaksanakan dengan sebaiknya, perbuatan khalwat ini boleh mendatangkan natijah yang lebih buruk lagi dalam masalah sosial yang menimpa masyarakat kita hari ini antaranya seperti kelahiran bayi luar nikah dan juga kes pembuangan bayi.

Oleh yang demikian, pelbagai cadangan perlu dikemukakan dan dilaksanakan bagi mengurangkan berlakunya kesalahan ini, anataranya dari sudut undang-undang perlu lebih diperketatkan lagi. Hakim perlu lebih bertegas dalam soal menjatuhkan hukuman terhadap pesalah di bawah peruntukan ini terutamanya rayuan untuk kesalahan kali pertama dan juga rayuan pesalah yang membuat pengakuan telah bertaubat.

Selain itu, pihak pendakwa juga perlu diperkasakan lagi terutamanya dalam urusan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin kerana pihak pendakwa memainkan peranan yang penting dalam mengemukakan beban pembuktian di dalam kes jenayah khalwat ini. Sepertimana dua kes yang telah dibincangkan di dalam tugasan ini, jelas menunjukkan kelemahan yang utama adalah daripada pihak pendakwaan yang sambil lewa dalam mengumpulkan pembuktian dan keterangan.

Dari aspek pencegahan seperti memperbanyakkan lagi operasi pencegahan maksiat serta menambah bilangan penguatkuasa. Cadangan penyelesaian dari aspek sosial perlu diterapkan melalui nilai-nilai agama dan moral yang ditekankan melalui pembelajaran di sekolah, didikan ibu bapa di rumah dan juga aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa. Pesalah-pesalah yang disabitkan di bawah kesalahan ini juga dikehendaki mengikuti program-program keagamaan di Pusat-pusat Pemulihan Akhlak untuk memberikan kesedaran dan mendidik keinsafan di dalam diri mereka untuk tidak mengulangi kesalahan perbuatan itu lagi

KESIMPULAN

Kesalahan khalwat adalah kesalahan yang melibatkan hak Allah, dan adalah menjadi kewajipan ke atas setiap muslim untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam membantu membasmi perbuatan yang tidak bermoral di kalangan umat islam.

Kedua-dua kes yang telah dibincangkan telah berjaya dibuktikan melalui elemen keterangan antaranya kesaksian (syahadah), Pengakuan (iqrar), Qarinah (dokumen) yang membantu menguatkan pembuktian dalam kes-kes tersebut. Beban pembuktian adalah ditanggung oleh pendakwa pada awal penyiasatan kes dalam menentukan prima facie. Manakala hakim akan membuat pertimbangan untuk menentukan darjah pembuktian yang perlu dicapai bagi pihak-pihak dalam mensabitkan sesuatu kesalahan.

Bagi menilai sesuatu kes itu mencapai tahap prima facie ataupun tidak, beberapa proses perlu dilalui bagi membuktikan kekuatan kes yang dibawa. Proses tersebut melibatkan 3 perkara iaitu :

1)      Kerelevanan.
2)      Pembuktian.
3)      pemeriksaan saksi.

Sekiranya kesemua proses ini dipenuhi, maka akan wujud Probative Force yang kuat dalam membuktikan sesebuah kes. Probative force adalah kecenderungan untuk membuktikan atau tidak membuktikan sesuatu dakwaan.[8]

Melalui kes-kes yang telah dibincangkan, dapat diperhatikan bahawa kekuatan keterangan diantara kedua-dua kes adalah berbeza. Aspek keterangan dan pembuktian sangat diperlukan dalam membuktikan fakta asas sesuatu kes, lebih-lebih lagi kes yang melibatkan jenayah yang mana memerlukan tahap pembuktian yang tinggi.




[1] Al-isra’ , ayat : 32
[2] Jal Zabdi Mohd Yusoff (2004), Pengenalan Kepada Undang-Undang Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. h. 183
[3] Hadith sahih, disahihkan oleh Al-Albani R.H di dalam al-Irwa’ (1934), dan al-Mishkah (3785).
[4] Jal Zabdi Mohd Yusoff (2004), opcit. h. 192
[5] Ruzman Md. Noor , “Pembuktian dalam kes Harta sepencarian” dalam Jurnal Syariah, (2007) 15: 1. h. 38
[6] Ibid.
[7] Jal Zabdi Mohd Yusoff (2004), opcit. h. 193

Wednesday, January 4, 2012

Sajak : Pertemuan untuk An-Nisa'

andai pertemuan semalam satu ketentuan
kesyukuran jua yang dapat kupanjatkan
bersama bayu ingin kunyatakan
aku pasrah dengannya aku dipertemukan
kiranya itu yang terbaik dalam suratan...

hari ini...
kita sehati jiwa
esok lusa tak siapa yang menduganya
pinta setiap hamba agar panas berpanjangan
minta dijauhkan dari bahang perpisahan
sekali lagi aku pasrah...

pertemuan esok adakah lebih ceria wajahnya?
atau kusam durja yang tercerna?
pintaku agar suria yang bertamu esok 
agar pertemuan yang tercipta buat kita
adalah pertemuan penuh nostalgia gembira
menjadi album kenangan selamanya

dan semoga pertemuan semalam, hari ini & esok
akan tersimpul jadi satu
akan sebati sepejal batu
agar segala rintangan & seteru
akhirnya tak akan mampu
menggugat intimnya pertemuan suci itu...

pertemuan semalam ada kisah luka
luka yang masih berdarah lagi
sakitnya pedih terasa
masih ada mimpi-mimpi ngeri 
yang mengganggu tidur yang lena...

pertemuan hari ini
bercita-cita tinggi
untuk memadamkan mimpi semalam 
dari terus menghantui
dengan satu harapan
dapat menyucikan kembali
dosa-dosa yang lalu

hari ini
masih belum menjanjikan 
keceriaan buatku

esok pasti ada
mengharap sedikit sinar
buatku......

~dariku untukmu...sajak kenangan Puisi Dayasari '11~


Monday, December 19, 2011

Analisis Kes Tort : Tort Kecuaian (Negligence)

PENDAHULUAN

Tajuk kajian kes bagi tugasan subjek Undang-undang Tort (IUEL3303) ialah Kes Alcock and others v Chief Constable of the South Yorkshire Police [1991] 4 All ER. Secara amnya, kes ini mengandungi prinsip tort yang berkaitan dengan kecuaian iaitu pelanggaran kewajipan undang-undang untuk berjaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diingini kepada plaintif. Sebagaimana yang diketahui,terdapat 3 elemen kecuaian iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage). Kajian kes ini terbahagi kepada  lima bahagian iaitu:

1)      Fakta
2)      Isu Kes
3)      Prinsip Tort
4)      Alasan Penghakiman
5)      Keputusan Kehakiman

Plaintif 
Alcock and others

Defendan
Chief Constable of the South Yorkshire Police

Hakim
Lord Keith of Kinkel, Lord Ackner, Lord Oliver of Alymerton, Lord Jauncey of Tullichettle and Lord Lowry


FAKTA KES

Pada 15 April 1989,  satu perlawanan bola sepak telah diadakan di Stadium Hillsborough, Sheffield di antara Liverpool dan Nottingham Forest yang merupakan perlawanan separuh akhir Piala FA. Pasukan polis South Yorkshire merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk mengawal penonton yang terlalu ramai pada perlawanan yang mana mereka telah membenarkan sejumlah besar bilangan penonton  yang melebihi had untuk memasuki Leppings Lane, iaitu  kawasan yang dikhaskan untuk penyokong Liverpool.

Mereka berasak-asak ke dalam pen 3 dan 4, di bawah Stand Barat Stadium Hillsborough dan menyebabkan 95 orang terbunuh dan lebih daripada 400 telah cedera dari segi fizikal. Tragedi ini telah disiarkan secara langsung di televisyen dari semasa ke semasa ketika kejadian berlaku dan rakaman tragedi itu juga disiarkan.

 Ketua Konstabel South Yorkshire (Chief Constable of the South Yorkshire Police) mengakui bahawa beliau menanggung liabiliti kecuaian berkenaan dengan kematian dan kecederaan fizikal yang berlaku. Enam belas tindakan yang berasingan dibawa terhadapnya oleh orang-orang yang tiada seorang pun yang hadir di kawasan di mana bencana berlaku, walaupun empat daripada mereka berada di tempat lain sewaktu kejadian. Semua plaintif menuntut ganti rugi bagi kejutan saraf yang menyebabkan mereka mengalami penyakit psikiatri yang disebabkan oleh tragedi tersebut.

Seramai 16 orang plaintif telah membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Konstabel Polis South Yorkshire yang mana 13 orang yang menuntut terdiri daripada saudara mara dan sahabat mereka yang terbunuh. Manakala 2 orang lagi adalah saudara mara dan sahabat mereka yang tercedera serta seorang lagi adalah mangsa yang dapat menyelamatkan diri sewaktu berlakunya tragedi tersebut. Mahkamah memutuskan bahawa 10 sahaja daripada pihak plaintif telah menang dalam tuntutan ini.

Kemudian, defendan yang tidak berpuashati telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap 9 plaintif yang berjaya, dan 6 pihak plaintif yang kalah juga membuat rayuan. Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan defendan dan telah menolak rayuan daripada pihak plaintif.

Disebabkan tidak berpuashati terhadap keputusan ini, pihak plaintif telah membuat rayuan ke Mahkamah Agung.





ISU KES

  1. Samada pihak plaintif merupakan golongan yang berhak untuk mendapat gantirugi bagi kejutan saraf (nervous shock).
  2. Samada orang yang melihat tragedi tersebut secara langsung melalui siaran televisyen berhak untuk membuat tuntutan


PRINSIP TORT

Prinsip tort yang wujud dalam kes ini adalah prinsip kecuaian yang mana di dalam prinsip ini, wujudnya tiga elemen iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage).

Di dalam kes ini,Ketua Konstabel Polis South Yorkshire menanggung liabiliti dalam elemen kecuaian yang pertama iaitu kewajipan berjaga-jaga (duty of care) yang mana beliau bertanggungan terhadap tugasnya untuk memastikan keselamatan para penonton sewaktu perlawanan. Beliau mengakui akan liabiliti kecuaian berkenaan dengan kematian dan kecederaan fizikal yang berlaku akibat tragedi tersebut.

Elemen kecuaian yang kedua iaitu pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty), yang mana pasukan polis South Yorkshire yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal bilangan kemasukan penonton ke dalam stadium, telah melakukan pelanggaran kewajipan iaitu dengan membenarkan sejumlah besar penonton memasuki Lane Leppings iaitu suatu kawasan yang dikhaskan untuk penyokong Liverpool.

Seterusnya, elemen kecuaian yang ketiga turut dipenuhi yang mana di dalam tragedi ini, 95 orang telah terbunuh dan menyebabkan lebih 400 orang lagi tercedera akibat daripada pelanggaran kewajipan berjaga-jaga yang telah dilakukan oleh pasukan polis South Yorkshire.

Sebagaimana yang diketahui, terdapat dua ujian bagi membuktikan seseorang defendan itu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap plaintif iaitu melalui ujian kejiranan dan juga ujian komposit. Berdasarkan kepada kes ini, kewajipan berhati-hati telah dibuktikan melalui ujian kejiranan yang mana melibatkan faktor proximiti iaitu plaintif tersebut haruslah seseorang yang ada berdekatan yang mungkin terjejas dengan tindak tanduk defendan. Faktor proximiti dapat dipenuhi sekiranya plaintif berada berdekatan dengan tempat kejadian dan juga mengalami kecederaan secara serta merta, bukan hanya melalui penglihatan atau pendengaran terhadap kejadian tersebut.   


ALASAN PENGHAKIMAN

Berdasarkan kepada isu yang pertama iaitu samada pihak plaintif merupakan golongan yang berhak untuk mendapat gantirugi bagi kejutan saraf (nervous shock), pihak plaintif tidak berhak untuk mendapat gantirugi atas kejutan saraf kerana tidak wujud hubungan yang rapat antara plaintif dengan mangsa utama. Hubungan mereka dengan mangsa juga tidak begitu dekat bagi membolehkan tuntutan ini diterima. Berkenaan dengan kelas orang, iaitu kemungkinan hubungan yang paling rapat dalam keluarga ialah antara ibu bapa dan kanak-kanak atau suami dan isteri. Sebagai contoh, di dalam kes ini, Robert Alcock telah kehilangan adik iparnya, Catherine Jones juga telah kehilangan adiknya dalam tragedi ini, Brian Harrison kehilangan kedua-dua saudaranya, Brenda Hennessey pula kehilangan abangnya, Denise Hough juga kehilangan abangnya, Stephen Jones pula kehilangan saudaranya, Joseph Kehoe kehilangan cucunya dan Alexander Penk pula kehilangan tunangnya. Tetapi, hanya Encik dan Puan Copoc yang kehilangan anak mereka. Akan tetapi, hal ini belum dapat meyakinkan mahkamah bagi  membenarkan tuntutan plaintif terhadap kes ini.

Bagi isu yang kedua iaitu samada orang yang melihat tragedi tersebut secara langsung melalui siaran televisyen berhak untuk membuat tuntutan. Plaintif yang melihat peristiwa-peristiwa bencana di televisyen tidak boleh dianggap telah mengalami kejutan saraf yang didorong oleh penglihatan atau mendengar tragedi itu kerana mereka tidak berada di dalam kejadian itu atau tidak berada dalam kedekatan (proximity) kepada peristiwa-peristiwa itu dan tidak akan mengalami kejutan dan serangan ke atas sistem saraf secara tiba-tiba. Plaintif tidak berhak untuk berjaya dalam rayuan kerana mereka tidak berada di dalam perlawanan tersebut akan tetapi hanya melihat tragedi melalui siaran televisyen atau mendengar melalui siaran radio sahaja.


KEPUTUSAN KEHAKIMAN

House of Lords (Mahkamah Agung) memutuskan bahawa Plaintif yang melihat peristiwa-peristiwa bencana di televisyen tidak boleh dianggap telah mengalami kejutan saraf yang didorong oleh penglihatan atau mendengar tragedi itu kerana mereka tidak berada di dalam kejadian itu atau tidak berada dalam kedekatan (proximity) kepada peristiwa-peristiwa itu dan tidak akan mengalami kejutan dan serangan ke atas sistem saraf secara tiba-tiba. Plaintif juga tidak berhak untuk berjaya dalam rayuan kerana mereka tidak berada di dalam perlawanan tersebut akan tetapi hanya melihat tragedi melalui siaran televisyen atau mendengar melalui siaran radio sahaja. Hubungan mereka kepada mangsa juga tidak menunjukkan cukup dekat untuk membolehkan rayuan mereka diterima. Oleh itu, Mahkamah menolak rayuan daripada plaintif.


KESIMPULAN

Berdasarkan kes Alcock and others v Chief Constable of the South Yorkshire Police, bagi membuktikan seseorang itu telah melakukan kecuaian, ia hendaklah memenuhi tiga elemen kecuaian iaitu mempunyai kewajipan berjaga-jaga (duty of care), pelanggaran kewajipan berjaga-jaga (breach of duty) dan berlaku kerosakan atau kerugian (damage).

Sebagaimana yang diketahui, terdapat dua ujian bagi membuktikan seseorang itu mempunyai kewajipan berhati-hati (duty of care) terhadap pihak lain iaitu melalui ujian kejiranan dan juga ujian komposit. Berdasarkan kepada kes ini, kewajipan berhati-hati telah dibuktikan melalui ujian kejiranan yang mana melibatkan faktor proximiti iaitu plaintif tersebut haruslah seseorang yang ada berdekatan yang mungkin terjejas dengan tindak tanduk defendan. Faktor proximiti dapat dipenuhi sekiranya plaintif berada berdekatan dengan tempat kejadian dan juga mengalami kecederaan secara serta merta, bukan hanya melalui penglihatan atau pendengaran terhadap kejadian tersebut.  


*Baru tahu fakta baru hari ini bila ada sahabat present kes berkenaan suami / isteri tidak boleh menyaman pasangan mereka atas kesalahan tort berdasarkan seksyen 9 (2) Akta Perempuan Bersuami 1957.